Selesaikan segera isu pengemis kanak-kanak - Utusan Malaysia

Selesaikan segera isu pengemis kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saudara Pengarang,

Dewasa ini terdapat golongan yang seronok menjadikan perbuatan meminta-minta sebagai kerjaya dan berhasil pula mengaut keuntungan lumayan. Akhbar setempat melaporkan terdapat pengemis yang beroleh pendapatan menyamai gaji eksekutif kanan dengan anggaran wang diterima sebanyak RM150 sehari.

Malah jumlah tersebut boleh mencapai RM4,500 sebulan jika “bekerja” tanpa cuti dan mencecah jumlah RM54,000 setahun tanpa perlu bersusah payah.

Perbuatan ini jika tidak dibendung boleh membawa kepada peningkatan jumlah gelandangan. Pada 2017 terdapat sejumlah 5,000 orang gelandangan di Kuala Lumpur.

Golongan ini mungkin terdedah kepada gejala negatif lain yang membimbangkan masyarakat. Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha dengan tangan sendiri.

Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa seseorang yang pergi ke hutan mencari kayu api kemudian menjualnya di pasar adalah lebih baik daripada meminta-minta sama ada diberikan ataupun tidak.

Benar pepatah ada menyebut tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Namun begitu adakah molek untuk seseorang terus menerus mengharap simpati dan belas ihsan orang lain tanpa berusaha sendiri.

Sebenarnya apa sahaja kerja asalkan dibenarkan oleh agama boleh dilakukan. Malah golongan pencari kerja tidak perlu terlalu memilih sehingga sukar mendapatkan pekerjaan. Perhatikan orang asing yang melakukan apa sahaja pekerjaan di negara kita mampu hidup senang bahkan setiap bulan menghantar sebahagian gaji ke kampung halaman.

Semua pihak diharap tidak mengambil kesempatan dengan sifat dermawan masyarakat di negara ini dengan mengeksploitasi kanak-kanak mengutip derma di depan bank atau tempat tumpuan orang ramai.

Malah mereka sepatutnya berada dibangku sekolah dan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya pada masa hadapan. Sehubungan dengan itu pihak berwajib diharap dapat membanteras golongan peminta sedekah yang tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri dan menipu orang ramai atas nama anak yatim dan pembinaan masjid.

Naqib Zharfan Basysyasy Omar

Pasir Gudang, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN