PIHAK pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masih belum membuat sebarang keputusan sama ada ingin menggantikan pengendali baharu buat pasukan atau sebaliknya berikutan perkara tersebut masih dalam perbincangan.
Sebelum ini penyokong Selangor sering menyalahkan jurulatihnya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir sebagai punca kekalahan skuad Gergasi Merah kebelakangan ini dan yang terbaharu tewas 0-3 kepada kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam aksi pembukaan Piala Malaysia.
Setiausaha Agung FAS, Johan Kamal Hamidon memberitahu, pihaknya masih belum memberikan kata putus terhadap isu berkenaan dan ia masih dalam kajian.
“Kami sedang melihat dan mengkaji sama ada jurulatih sedia ada perlu digantikan atau tidak memandangkan ramai penyokong mengatakan punca kekalahan Selangor adalah daripada Nazliazmi.
“Keputusan ini tidak boleh dilakukan terburu-buru kerana pihak pengurusan baharu FAS juga baru tiga minggu.
“Kita sedang menilai semua jurulatih tempatan serta luar dan sudah ada empat calon, namun kami perlukan masa jika pasukan benar-benar perlukan perubahan musim hadapan,” katanya ketika ditemui selepas tamat Bengkel Perbincangan FAS di Shah Alam semalam.
Turut hadir pada majlis penutup tersebut ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Presiden FAS, Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Nazliazmi yang sebelum ini sebagai pembantu jurulatih dinaikkan pangkat pada 3 April lalu bagi menggantikan tempat P. Maniam yang direhatkan 14 Mac lalu selepas beliau dianggap gagal membawa pasukan untuk beraksi dengan konsisten pada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Sementara itu, FAS turut merasakan Nazliazmi sudah melakukan yang terbaik buat Selangor, namun beliau perlukan sedikit masa untuk lebih matang.
“Bagi kami, Nazliazmi sudah melakukan yang terbaik buat pasukan kerana Selangor mampu ke pentas final Piala FA dan tidak tersingkir dalam saingan Liga Super musim depan.
“Sebagai pengetahuan, anak dia kini berada dalam unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital bagi menjalani pembedahan jantung berlubang selama tiga minggu. Dia perlu menghadapi tekanan peribadi dan di dalam padang.
“Pada masa sama, dia mampu membawa pasukan berada pada tahap sekarang meskipun Selangor dibarisi pemain muda.
“Bagi FAS, dia sudah melakukan yang terbaik, namun Nazliazmi perlukan lebih masa untuk matang dan keputusan muktamad pasukan masih belum dilakukan buat masa ini,” ujarnya.










