LONDON 3 Ogos – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri memberitahu dia tidak akan membenarkan Eden Hazard dan Thibaut Courtois meninggalkan Stamford Bridge sehingga perbincangan bersama kedua-dua pemain Belgium itu dilakukan.
Courtois menjadi subjek bidaan Real Madrid dengan jumlah 35 juta pound (RM185 juta) namun The Blues enggan menjualnya dengan harga tersebut.
Hazard turut menjadi buruan Real namun Chelsea enggan melepaskan pemain bintangnya itu menjelang musim pertama Sarri dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kedua-dua pemain tersebut dijangka melaporkan diri ke kem latihan Chelsea di Cobham pada hari ini selepas membantu Belgium menang tempat ketiga dalam Piala Dunia.
Sejak tiba di Chelsea, Sarri menegaskan dia akan mengadakan pertemuan empat mata dengan kedua-dua pemain tersebut dan jurulatih dari Itali itu mahu menjelaskan keadaan sebenar sebelum berlangsung perlawanan Perisai Komuniti, Ahad ini di mana Courtois dan Hazard akan beraksi menentang Manchester City di Wembley. – AGENSI










