Samun: Kembar lelaki kekal bersalah, penjara dikurangkan - Utusan Malaysia

Samun: Kembar lelaki kekal bersalah, penjara dikurangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan sepasang kembar lelaki dihukum penjara lima tahun dan sebatan dua kali atas kesalahan menyamun seorang pelajar universiti swasta warga Bangladesh yang turut dibogelkan dalam satu kejadian di lorong bawah tanah di Sungai Besi, dua tahun lalu.


Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu setelah menolak rayuan A. Thanabalan dan A. Thanaselan, 21, yang tidak berpuas hati terhadap hukuman dan sabitan salah yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Disember 2017.

Beliau bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara dari tujuh tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen kepada lima tahun manakala jumlah hukuman sebatan dikekalkan.

Memuatkan artikel berkaitan…


“Kamu masih muda, semoga dengan hukuman ini kamu berdua berubah dan insaf serta menjadi insan yang lebih baik,” kata Hakim Azman.


Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan sebatan dua kali terhadap

Thanabalan dan Thanaselan selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan samun terhadap Azam Kawser Ibne, 23, menggunakan kereta sewa iaitu sebuah kereta Proton Saga FLX berwarna merah.

Mereka yang didakwa melakukan perbuatan itu bersama dua lagi yang masih bebas telah melarikan telefon bimbit, dompet yang mengandungi kad pengeluaran wang automatik (ATM) Bank CIMB dan wang tunai RM300 milik mangsa di Jalan Bukit Pantai, Brickfields di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 10 November 2016.


Pertuduhan terhadap kedua-duanya dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kedua-dua pemuda itu diwakili peguam Muhamad Razman Sahat dan Muhammad Amin Abdullah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aznika Mohd. Anas.


Difahamkan, kedua-dua tertuduh membawa mangsa ke suatu tempat berhampiran lorong bawah tanah di Sungai Besi di sini sebelum membogelkan mangsa dan bertindak menyamun warga Bangladesh itu.


Mangsa kemudian dibantu oleh seorang pekerja yang berada di situ dan meminjamkannya pakaian sebelum membuat laporan polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×