LONDON – Daniel Ricciardo bersedia untuk memulakan aksi bersama Renault pada musim depan biarpun berasa sedih untuk meninggalkan Red Bull Racing (RBR) setelah bersama pasukan itu selama empat tahun.
Pelumba dari Australia itu telah meraih dua gelaran peringkat remaja dan tujuh kemenangan Grand Prix (GP) sejak memulakan hubungan dengan pasukan yang berpangkalan di Milton Keynes itu pada tahun 2008.
Pelumba berusia 29 tahun itu mengumumkan pengikatan kontraknya selama dua tahun bersama Renault minggu lalu dan bakal bergandingan bersama Nico Hulkenberg pada musim depan.
Justeru, Ricciardo mahu mempersembahkan perlumbaan terbaik pada baki perlumbaan musim ini sebagai tanda penghargaan terhadap Red Bull yang banyak membentuk kariernya.
“Berita mengenai perpindahan saya telah tersebar dan ia benar. Setakat ini, ia merupakan keputusan paling sukar yang pernah saya lakukan sepanjang bergelar pelumba.
“Saya sedih untuk berubah angin tapi pada masa sama, saya sangat teruja dengan cabaran di Renault. Ini merupakan pengalaman 10 tahun bersama Red Bull. Saya berada dalam program remaja sejak tahun 2008.
“Secara peribadi, saya rasa ia masa yang tepat untuk saya terus melangkah sekali lagi dan cuba dapatkan permulaan yang baik. Saya rasa semuanya berjalan lancar bagi saya,” katanya. – Agensi











