JAGUH pecut 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian kembali bersemangat tinggi selepas namanya kembali tersenarai menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia dari 18 Ogos ini hingga 2 September depan.
Rayzam yang hampir bersara dua minggu lalu kerana namanya digugurkan ke Sukan Asia 2018, akan cuba memberikan prestasi terbaik walaupun terpaksa beraksi atas tiket kategori B apabila acaranya bermula 27 Ogos ini di Stadium Gelora Bung Karno.
“Saya tidak mahu berjanji apa-apa kerana motivasi saya tidak berada pada tahap terbaik disebabkan situasi sebelum ini. Bagaimanapun, saya akan tetap mencuba memberikan prestasi paling baik di sana nanti.
“Saya sekarang berada di kedudukan ke-10 Asia tetapi akan cuba sebaik mungkin untuk sekurang-kurangnya mara ke final. Ia bukan mudah kerana pencabar dari negara seperti India, Jepun, Arab Saudi, China dan Taiwan cukup pantas.
“Apa pun saya akan memberikan prestasi 110 peratus terbaik. Terima kasih kepada KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia), MOM (Majlis Olimpik Malaysia) dan semua yang membantu menyenaraikan semula nama saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ia menyaksikan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67s, bakal membuat penampilan kali pertama di pentas Sukan Asia selepas menabur bakti buat Malaysia hampir 11 tahun.
Selain Rayzam, nama pemegang rekod baling tukul besi kebangsaan dan Sukan SEA dengan catatan 65.90m iaitu Jackie Wong Siew Cheer dan Iskandar Alwi (pemegang rekod lompat bergalah kebangsaan, 5.31m) turut tersenarai ke Sukan Asia 2018.
Penyenaraian tiga nama itu menyaksikan rayuan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim kepada MOM cuba menyenaraikan juga ketiga-tiga jaguh olahraga tersebut berjaya meskipun ia terpaksa dilakukan pada saat-saat akhir.
Rayuan nama ketiga-tiga atlet tersebut disahkan berjaya oleh Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sewaktu mesyuarat bulanan badan induk berkenaan di Wisma MOM, Kuala Lumpur semalam.











