SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyifatkan rakyat semakin selesa dengan pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) meskipun peratusan keluar mengundi rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kelmarin.
Amirudin menambah, alasan lain mengapa pengundi tidak turun mengundi ialah kerana dipengaruhi mood Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru sahaja berlalu.
“Seperti kita lihat sekarang, rakyat sekitar DUN Sungai Kandis sudah selesa dan percaya terhadap pentadbiran kerajaan masa kini. Dahulu, ketika PRU-14, ramai rakyat turun mengundi kerana mahu menolak kerajaan Barisan Nasional (BN), itu sebab ramai yang keluar mengundi.
“Selain itu, saya juga terima aduan bahawa ramai yang bekerja semalam (kelmarin) kerana bukan cuti umum. Dalam pada itu, kita akan memperbaiki segala kelemahan termasuk melihat kawasan yang sebelum ini kita menang tapi semalam (kelmarin) kita kalah,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Negeri Selangor 2018 di sini semalam.










