KUALA LUMPUR 7 Ogos – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) disaran untuk mengambil langkah drastik dengan menyenarai hitam institusi atau penyedia latihan (PL) yang didapati melakukan penyelewengan.
Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), Nurul Izzah Anwar ketika lawatan kerjanya ke agensi berkenaan hari ini.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk perkara itu dilaksana memandangkan sehingga kini belum ada PL yang berdepan dengan hukuman itu.
“Dari segi salah guna kuasa memang ada berlaku dan siasatan sudah bermula Julai tahun lalu.
“Saya tidak mahu kesan kepada siasatan dirasai oleh pelatih dan peminjam. Ia sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada individu yang terlibat dan saya rasa sudah tiba masanya senarai hitam dilaksana,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat PTPK, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengerusi PTPK, Datuk Seri Adenan Ab. Rahman dan Ketua Eksekutifnya, Azrul Izham Hamzah. – UTUSAN ONLINE










