JOHOR BAHRU 12 Ogos – Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang yang menganjurkan Artbeat Festival 2018 mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), hari ini.
Pengiktirafan itu sebagai penyertaan paling ramai dengan 502 pelajar berkeperluan khas dari sembilan sekolah menggunakan teknik cetakan saring atau open masking technique.
Anugerah tersebut disampaikan Ketua Pegawai Operasi MBR, Christopher Wong kepada Pengarah PIS, Rashidah Mustapa di Angsana Mall Johor Bahru, di sini sebentar tadi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Profesor Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd Aziz menyaksikan pengiktirafan itu.
Penganjuran Artbeat Festival 2018 bermula awal bulan lalu dan kemuncaknya pada petang ini bertemakan Uninterrupted Impairment: The Beauty of Silent In Visual Communication yang dijalankan di sembilan buah sekolah sekitar daerah ini.
Sekolah terlibat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai; SMK Pendidikan Khas Vokasional Indahputra; sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Johor; SMK Taman Universiti; SK Taman Perling; SMK Seri Alam 2; SK Permas Jaya 2; SK Pasir Gudang 2 dan SMK Ulu Tiram.Antara aktiviti yang berlangsung dalam festival berkenaan adalah perkongsian pakar seni, bengkel penghasilan produk seni, pameran hasil seni, keusahawan kreatif, pertunjukan fesyen dan pertandingan-pertandingan kreatif.
Sementara itu, Rashidah berkata, bengkel menghasilkan karya yang membabitkan pelajar orang kurang upaya (OKU) dilaksanakan bertujuan mencungkil bakat seni mereka.
Beliau berkata, secara tidak langsung juga memupuk minat golongan berkenaan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan pada masa depan.
“PIS memiliki 400 pelajar OKU yang melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen, katering dan grafik.
“Malah ada graduan OKU yang berjaya dalam bidang diceburi dan ia boleh menjadi inspirasi kepada kumpulan murid dan pelajar OKU,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN ONLINE











