KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M. Daud Wahid, 76, meninggal dunia di Hospital Shah Alam, Seksyen 7 pada pukul 2.30 petang tadi.
Menurut menantunya, Mohd. Hashir, 35, mula mendapatkan rawatan di hospital tersebut sebelum meninggal dunia berikutan penyakit kanser prostat yang dialaminya sejak tahun lalu.
“Sejak disahkan menghidap kanser prostat pada tahun lalu, kesihatan ayah (M. Daud) kadang-kala baik dan merosot selain sering mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
“Pada awalnya doktor menyarankan agar pembedahan dilakukan bagi membuang kanser prostat tersebut namun, tidak disetujui oleh ayah atas alasan usianya yang sudah uzur,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Jenazah Allahyarham akan disempurnakan di Surau Al-ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kandis, Seksyen 36. – K! ONLINE










