Polis Tawau tahan enam suspek sindiket kad pengenalan merah - Utusan Malaysia

Polis Tawau tahan enam suspek sindiket kad pengenalan merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU – Polis menahan enam suspek termasuk seorang remaja perempuan disyaki terlibat dalam sindiket penipuan urusan pembuatan kad pengenalan merah di daerah ini yang dikesan beroperasi sejak 15 April tahun ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, lima lelaki tempatan berumur antara 49 hingga 58 tahun itu serta remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan pada 24 dan 26 Julai lepas.

“Modus operandi sindiket ini adalah memperdayakan mangsa dengan menyatakan boleh membantu mangsa menguruskan kad pengenalan merah walaupun dokumen sokongan tidak lengkap.

“Akibat itu, mangsa yang percaya menyerahkan wang tunai RM150 untuk urusan kad pengenalan itu tetapi merasa tertipu apabila masih belum menerima kad pengenalan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fadil, dalam dua siri tangkapan itu, pihaknya turut merampas 14 fail yang mengandungi salinan pasport pemohon, salinan sijil lahir pemohon, borang permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan merah dan dokumen kelulusan khas pendaftaran maklumat penduduk di Sabah. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN