Polis cekup pengedar dadah, dipercayai aktif sejak tahun lalu - Utusan Malaysia

Polis cekup pengedar dadah, dipercayai aktif sejak tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 5 Ogos – Kegiatan mengedar dadah seorang lelaki terhenti setelah dicekup polis dalam satu serbuan di Kampung Tupong Batu di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintenden Sahar Abd. Latif berkata, suspek tersebut merupakan seorang pengganggur berusia 25 tahun diberkas di sebuah pasar raya pada pukul 4.30 petang.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku menyimpan dadah di rumahnya di kampung sebelum serbuan dilakukan dua jam selepas itu.

“Serbuan di rumah berkenaan menemukan satu ketulan mampat dedaun kering bersalut plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 105 gram yang disembunyikan di bawah tilam.

“Pemeriksaan lanjut menemukan satu ketulan mampat dedaun kering bersalut plastik hitam dan plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 770 gram yang disembunyikan di atas siling dapur kediaman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, polis turut menemukan lapan peket dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat 26 gram yang disimpan di dalam satu beg silang di bilik tidur suspek.

“Nilai dadah yang dirampas daripada suspek dianggarkan bernilai RM18,020.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak 2017.

“Ujian air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis tetra hydrocannabinol (THC),” ujarnya.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN