‘Rebah tertiarap nampak pak belang’ - Utusan Malaysia

‘Rebah tertiarap nampak pak belang’

NORLIA Mat Din menceritakan detik dia ternampak kemunculan harimau belang di Kampung Jeram, Kampar kelmarin. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: “Saya tergamam melihat harimau depan mata. Saya melarikan diri ke dalam rumah namun rebah kerana terkena batu sehingga sakit dada’.

Itu detik cemas Norlia Mat Din, 68, penduduk yang ternampak seekor harimau yang muncul dari semak di belakang rumahnya di Kampung Jeram di sini kelmarin.
Sebelum itu, dia menjemur pakaian di ampaian di belakang rumah pada kira-kira pukul 9 pagi.

“Ketika menjemur pakaian, saya terdengar bunyi arah semak. Tiba-tiba ternampak seekor harimau sedang mengejar binatang tetapi saya tak pasti apa yang dikejarnya sama ada kucing atau ayam.

“Saya tergamam, seolah-olah melihat harimau di zoo, badannya besar. Haiwan itu kemudian hilang dalam semak mengejar binatang lain,” cerita Norlia.

Dia yang takut berlari masuk rumah namun jatuh tertiarap kerana tersepak batu.

Katanya, dia tidak menyangka haiwan liar yang pernah dilihat di zoo masuk ke dalam kampung.
“Ketakutan itu sampai sekarang dan saya tidak berani keluar jemur kain,” katanya.

Semalam, Perhilitan Perak mengesahkan selain Kuala Mu di Sungai Siput, harimau belang turut didakwa berkeliaran di Kampung Sahom, Kampar.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan menerima aduan berkaitan kehadiran harimau di Sahom.

Menurut beliau, harimau belang itu kemungkinan tersesat daripada habitat asalnya yang terletak berhampiran di Hutan Simpan Salu.

Katanya, Sahom berhampiran dengan Hutan Simpan Salu, dan kemungkinan harimau tersebut terlajak mencari makan kerana babi hutan di kawasan itu berkurangan ekoran wabak demam babi Afrika (ASF).

Katanya, Perhilitan sudah memasang perangkap bagi menangkap harimau belang itu.

Sementara itu, enduduk Kampung Jeram di sini hidup dalam ketakutan berikutan kemunculan harimau yang dilihat seorang warga emas.

Sejak kelmarin penduduk kampung tidak berani keluar rumah sama ada ke dusun untuk mengutip durian atau membeli barang.

NAMPAK

Seorang penduduk kampung tersebut, Linda Abu Hassan, 38, berkata, ibunya penduduk pertama yang nampak haiwan tersebut muncul dari dalam semak di belakang rumah.

“Emak menghubungi saya pagi semalam, kira-kira pukul 9 pagi. Suaranya cemas, takut dan menangis-nangis sambil memberitahu dia ternampak harimau di belakang rumah.

“Emak kata harimau itu besar seperti pernah dia lihat dalam zoo,” ceritanya.
Menurut beliau abangnya telah membuat laporan polis sebelum kakitangan Perhilitan datang mencari jejak harimau itu.

Menurutnya, sebelum ini dia mendengar cerita penduduk lain mengenai kehadiran harimau belang di kawasan Sahom dan Gua Tempurung, namun tidak menyangka haiwan liar itu masuk hingga ke kampungnya.

Katanya, berikutan itu difahamkan Perhilitan sudah memasang perangkap namun belum berjaya menangkapnya.

“Sekarang kami dalam ketakutan, takut nak keluar rumah bersendirian. Kalau ke mana-mana pun mesti berkawan, pintu rumah sentiasa tertutup, kalau malam hari, penduduk cepat-cepat masuk rumah,” katanya.

Menurutnya, apa yang membimbangkan ialah ketika ini musim durian di sekitar Kampar dan pemilik dusun sudah tentunya akan ke dusun untuk mengutip durian.

“Saya selalu ingatkan pemilik dusun kalau ke dusun kutip durian jangan bersendirian, bawa teman.

Malah saya difahamkan ada penduduk dan pemilik durian yang membakar mercun semasa masuk ke dusun untuk menakutkan haiwan liar itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×