SHANGHAI: Kerjasama yang semakin erat antara Kuala Lumpur dan Beijing diharap dapat diperkukuhkan lagi dengan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan komitmen tersebut dalam pertemuan dengan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong di sini, hari ini.
Meskipun tidak dinyatakan bila lawatan tersebut akan dibuat, namun Ahmad Zahid berkata, pegawai negara China akan menentukan masa yang sesuai untuk mengadakan lawatan ke Malaysia.
“Komitmen China terhadap Malaysia adalah pada tahap yang sangat tinggi dan kami berharap ia akan terus diperkukuh, terutamanya dengan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia di masa akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada media Malaysia.
Tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang melawat Malaysia bagi memperingati lima dekad hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Li mengadakan lawatan di Malaysia pada Jun lalu dan ia merupakan kunjungan pertamanya sejak memegang jawatan pada Mac tahun lepas.
Kunjungan tersebut bertepatan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan Chou En Lai pada 31 Mei 1974.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menjelaskan, antara intipati yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Wang adalah meningkatkan latihan bersama dan pertukaran pegawai tinggi dalam bidang penguatkuasaan dan keselamatan.
“Ini adalah sebahagian dari usahasama yang sedang giat dijalankan selain usaha mewujudkan perkongsian keselamatan strategik antara kedua-dua negara,” ujarnya. – UTUSAN










