KUALA LUMPUR 31 Okt. – Semua pemilik atau pemegang lesen perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diminta memperbaharui lesen perniagaan dan iklan bagi tahun 2019 sebelum atau selewat-lewatnya 31 Disember ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, lesen perniagaan dan iklan itu boleh diperbaharui di kaunter ibu pejabat dan cawangan MPSJ terpilih.
Jelasnya, pembaharuan tersebut boleh dijalankan secara dalam talian melalui laman web www.mpsj.gov.my.
“Bermula Januari 2019, MPSJ tidak akan menghantar sebarang pemberitahuan berkaitan pembaharuan lesen perniagaan dan iklan.
“Menjadi tanggungjawab setiap pemilik memastikan lesen perniagaan diperbaharui sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum tamat tempoh sah lesen perniagaan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azfarizal, kegagalan pemegang lesen memperbaharui lesen tersebut mengikut tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan tindakan penguatkuasaan dijalankan tanpa sebarang notis lanjut. – UTUSAN ONLINE










