KUANTAN: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebelum menembak tayar kiri sebelah hadapan sebuah kereta jenis Proton Perdana dalam Operasi Sarang di Jalan Air Putih, dekat sini, kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, sebelum melepaskan tembakan, pihak polis cuba menahan kenderaan yang berwarna perak itu berikutan berada dalam keadaan mencurigakan.
“Setelah menyedari kehadiran polis, pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan dan telah memasuki jalan mati di Lorong Air Putih 130. Bertindak nekad untuk melepaskan diri, pemandu Proton Perdana itu mengundur dan merempuh sebuah kenderaan pasukan polis beberapa kali sehingga berjaya meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Mohd. Zahari berkata, dua anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu telah melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran agar suspek memberhentikan kenderaan namun tidak diendahkannya.
“Susulan itu anggota tersebut terpaksa melepaskan tiga das lagi tembakan pada bahagian tayar kiri hadapan Proton Perdana tersebut. Suspek berjaya melepaskan diri dari lokasi kejadian dan gagal dikesan. Suspek meninggalkan kenderaan tersebut lebih kurang 400 meter dari tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dan pemeriksaan awal ke atas kenderaan itu yang bernombor pendaftaran DCA 7880 yang dinaiki suspek menemukan beberapa dokumen milik penama Shaizul Aziram berusia lebih kurang 46 tahun.
“Polis menemukan penama tersebut juga mempunyai alamat di dua buah rumah berasingan iaitu di Taman Maran Jaya, dekat Maran. Turut ditemukan dokuman milik seorang lagi penama Abdullah Fahmi Salleh @ Muhammad berusia 26 tahun berasal dari Tumpat, Kelantan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan. Kedua-dua penama dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau menghubungi hotline PDRM IPD Kuantan di talian 095652222 bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










