PKR Perlis sokong Azmin Timbalan Presiden - Utusan Malaysia

PKR Perlis sokong Azmin Timbalan Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 6 Ogos – PKR negeri ini menyokong penuh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden parti itu seterusnya membentuk gandingan mantap bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden.

Pengerusi PKR negeri, Mohammad Faisol Abd. Rahman berkata, kewibawaan Mohamed Azmin sudah terbukti apabila dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad selain merupakan seorang tokoh di dalam PKR sejak zaman reformasi lagi.

Selain itu, Mohamed Azmin juga mempunyai kesabaran yang tinggi selain berjaya mengharungi pelbagai rintangan sepanjang berada di dalam PKR selama ini.

“Mohamed Azmin juga berjaya memimpin Selangor dengan baik semasa menjadi Menteri Besar sebelum ini. Beliau (Mohamed Azmin) berjaya dalam institusi keluarga, pentadbiran dalam parti dan juga negara.

“Saya melihat ketokohan Azmin luar biasa dan selayaknya beliau terus kekal menjadi Timbalan Presiden PKR,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Mohamed Azmin mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu sekali gus bakal menentang Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang terlebih dahulu mengemukakan pencalonan.

Manakala bagi jawatan Presiden, Anwar menang tanpa bertanding apabila menjadi satu-satu­nya calon yang menghantar borang ke Ibu Pejabat PKR di Peta­ling Jaya, Selangor semalam bagi me­rebut jawatan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN