Pertumbuhan pinjaman sederhana - Utusan Malaysia

Pertumbuhan pinjaman sederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Industri perbankan diunjur mengekalkan pertumbuhan pinjaman pada kadar 4.5 peratus tahun ini dipacu oleh jangkaan permintaan pinjaman yang lebih kukuh daripada sektor runcit dan pinjaman gadai janji.

Penganalisis Maybank IB Research, Desmond Ch’ng berkata, pinjaman daripada sektor runcit dan gadai janji menyaksikan peningkatan permohonan permohonan pada tahun 2017.

“Selain itu tempoh masa peralihan antara rejim cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang kini berkadar sifar kepada sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga mampu merangsang permintaan pelanggan terhadap pinjaman perbankan dalam jangka masa pendek,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelas Ch’ng, pertumbuhan pinjaman secara kumulatif setakat suku pertama 2018 masih diparas dua peratus tahun ke tahun, walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman dalam negeri agak kukuh, berkembang 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman industri sebanyak 4.5 peratus dengan pertumbuhan pinjaman isi rumah dijangka lebih kukuh tetapi pertumbuhan pinjaman korporat dijangka stabil namun masih tidak menentu,” katanya.

Kata beliau, pembatalan beberapa projek infrastruktur baru-baru ini mungkin memberi kesan terhadap pinjaman korporat walaupun segmen tersebut mencatatkan peningkatan pada April 2018.

“Secara kumulatif, kami menjangkakan kadar pertumbuhan pinjaman kasar industri perbankan berkembang dari 2.3 peratus pada tahun 2017 kepada 4.5 peratus tahun ini, namun begitu kadar tukaran wang asing mampu mempengaruhi nilai ini pada masa-masa akan datang,” katanya.

Suku pertama 2018 menyaksikan industri perbankan mencatatkan peningkatan keuntungan kasar sebanyak 12 peratus tahun ke tahun dan Maybank IB Research mengunjurkan pertumbuhan pendapatan kumulatif sektor perbankan berkembang 7.7 peratus pada 2018 manakala pulangan ke atas ekuiti (ROE) dijangka tumbuh pada kadar 10.8 peratus.

Secara keseluruhannya, bagi suku pertama 2018, industri perbankan merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan kebanyakan bank mencatatkan keputusan melebihi jangkaan para penganalisis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×