KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti jumlah pingat emas untuk disasarkan kontinjen negara dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan membuka tirainya pada 18 Ogos ini.
Walau bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih berpegang kepada pendiriannya untuk merahsiakan sasaran pingat emas dan hanya akan membuat pengumuman mengenainya dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen, dijadualkan pada Jumaat ini.
“Apa yang saya boleh maklumkan pada Jumaat ini kita akan ada penyerahan bendera dan pada hari tersebut Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut hadir bagi memberi pengiktirafan kepada atlet yang akan menyumbang bakti dalam Sukan Asia.
“Berdasarkan perbincangan tadi kita sudah menetap jumlah pingat yang perlu dicapai oleh atlet negara cuma kita akan maklumkan secara rasmi pada Jumaat ini. Kita juga sudah menetapkan ranking (kedudukan keseluruhan) yang kita harap boleh dicapai.
“Perbincangan tadi turut menyentuh mengenai isu keselamatan dan lain-lain kerana kami mahu kebajikan dan keselamatan atlet terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) dekat Taman Keramat hari ini.
Sementara itu, ketua kontinjen (CDM) Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sasaran pingat yang ditetapkan itu realisitik atau sebaliknya.









