SHAH ALAM 4 Ogos – Peratusan rendah yang keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis membuktikan rakyat membuat protes terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu menunjukkan rakyat tidak berpuas hati ini dengan kegagalan PH menunaikan janji manifesto mereka dalam tempoh 100 hari.
Katanya, PRK kali ini juga memperlihatkan sokongan pengundi terhadap BN berada di tahap memberangsangkan dengan memperoleh lebih 9,000 undi.
“Saya menjangkakan kita kalah teruk namun perolehan undi membuktikan kita mendapat 75 peratus daripada 11,000 yang diperoleh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Keputusan tersebut lebih baik daripada Pakatan Harapan yang saya jangka mendapat 18,000 undi tetapi hanya memperoleh lebih 15,000 undi. Justeru, perkara ini perlu dilihat, dikaji dan diteliti,” katanya kepada pemberita di Pusat Gerakan BN Kampung Sungai Kandis di sini malam ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, berdasarkan keputusan PRK itu, pola pemikiran pengundi kini semakin sukar dijangka dan dikategorikan oleh parti yang bertanding.
“Jika dahulu, deposit BN adalah pada saluran satu hingga tiga melibatkan golongan orang tua namun kini telah berubah.
“Apa yang dilihat ada BN kalah dan menang di saluran orang muda dalam beberapa Pusat Daerah Mengundi,” katanya.
Sementara itu, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pula menegaskan rasa fobia dalam kalangan pengundi sama ada muda dan tua terhadap corak pelaksanaan kerajaan PH sehingga memberikan kesan terhadap peratusan keluar mengundi.
“Lihat beberapa contoh sebelum ini termasuk ada akaun dibekukan sesuka hati dan ramai peneraju syarikat pemilik kerajaan (GLC) diminta meletakkan jawatan.
“Tindakan sebegitu mengakibatkan pengundi takut sekiranya mereka mengambil bahagian dalam PRK dan memberi kesan seperti bantuan kepada anak-anak dan kebajikan mereka. Ini amat berbahaya dalam amalan sistem demokrasi,” jelasnya.










