Pentadbir USIM ‘teruja’ masuk Parlimen - Utusan Malaysia

Pentadbir USIM ‘teruja’ masuk Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIKUTI secara dekat sesi perbahasan di Dewan Rakyat memberi pengalaman baharu kepada pentadbir dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berpeluang mengunjungi Bangunan Parlimen untuk melihat secara dekat sesi Dewan Rakyat baru-baru ini.

Terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dari pelbagai skim perkhidmatan, lawatan ke Parlimen di Kuala Lumpur ini dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM disertai seramai 19 orang pegawai.
Istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14 telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong mencipta sejarah baharu kepada negara apabila Malaysia dipimpin oleh kerajaan baharu, Pakatan Harapan. 
Persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 16 Julai lalu akan berlangsung selama 20 hari iaitu sehingga 16 Ogos ini.
Mengambil peluang sesi Dewan Rakyat yang masih berjalan, kunjungan oleh pentadbir USIM ini memberi pendedahan kepada para pegawai universiti berkenaan situasi sebenar Persidangan Parlimen Malaysia serta mengetahui lebih lanjut mengenai tatacara perjalanan perbahasan di Dewan Rakyat serta  pentadbiran dan fungsi Parlimen.
Lawatan ini juga memberi input kepada peserta mengenai etika pengurusan protokol yang melibatkan urusan rasmi di Parlimen Malaysia.
Menurut penyelaras lawatan ini, Zulfadhli Hamzah selaku Exco Pragmatis, para delegasi amat berterima kasih kepada Ketua Pentadbir Parlimen atas persetujuan menerima permohonan pihaknya berkunjung ke Parlimen serta berpeluang menjadi pemerhati dalam sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.
“Kita amat gembira kerana pada sesi ini, kita berpeluang melihat secara terus sesi soal jawab bertulis dan lisan oleh ahli Dewan Rakyat yang diajukan kepada pihak kerajaan antaranya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab persoalan berkaitan Proton dan projek kereta nasional, manakala Menteri Pertahanan, Muhammad Sabu menjawab soalan menyentuh penglibatan tentera Malaysia di negara asing sebagai tentera pengaman dan isu kedaulatan perairan negara,” ujarnya yang juga Penolong Pendaftar di USIM Alamiyah.
“Selain berpeluang mengikuti sesi Dewan Rakyat, kami juga dibawa melawat ke Dewan Negara, Galeri Parlimen serta kawasan sekitar. 
“Sepanjang sesi ini, Idzuafi Hadi Kamilan, iaitu Pegawai Penyelidik di Parlimen Malaysia turut memberi penerangan yang amat jelas dan baik mengenai sejarah, peranan dan governan Parlimen Malaysia.
“Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
“Parlimen Malaysia yang terdiri daripada tiga komponen penting iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat melambangkan keutuhan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang kita junjung. 
“Amat penting kita sebagai warganegara Malaysia untuk menghormati institusi ini,” ujar Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd. Zaini Othman, yang turut mengikuti lawatan ini.
Sesi lawatan kira-kira dua jam itu membangkitkan keterujaan para delegasi kerana dapat melihat secara langsung sesi perbahasan di dalam dewan yang sebelum ini ditonton di televesyen atau dalam talian sahaja. Selain itu, peluang dapat bertentang mata dan beramah mesra dengan beberapa ahli Parlimen di lobi Dewan Rakyat juga secara tidak langsung memberi peluang untuk memperkenal Pragmatis dan USIM kepada mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN