PULAU PINANG 5 Ogos – Seorang pensyarah kanan di sebuah universiti awam di sini mendakwa kerugian sebanyak RM301,700 selepas diperdaya satu sindiket dipercayai Macau Scam, Selasa lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum tiga orang suspek termasuk seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan sehari kemudian.
Katanya, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 21 tahun dengan salah seorang daripada mereka iaitu suspek lelaki itu dipercayai menyamar sebagai anggota polis, pegawai bank dan pegawai kastam untuk memperdayakan mangsa.
“Kejadian bermula apabila mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada Kastam Alor Setar yang mendakwa pensyarah terbabit terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan penyeludupan telefon dari Thailand ke Malaysia.
“Mangsa kemudian bersetuju untuk membuat pemindahan wang seperti yang diarahkan oleh suspek, namun, akhirnya mengesyaki telah ditipu selepas gagal menghubungi suspek berkenaan selepas itu,” katanya di sini, malam tadi.
Thaiveegan berkata, hasil siasatan polis mendapati, suspek lelaki yang menyamar sebagai anggota penguatkuasa itu bekerja untuk satu sindiket penipuan Macau Scam sejak November tahun lepas hingga Mei lalu dan telah pergi ke beberapa negara sepanjang tempoh tersebut.
“Suspek kemudian meminta bantuan rakannya (salah seorang suspek perempuan) meminjamkan akaun Maybank kerana mahu mengirimkan wang dari luar negara dengan alasan wang yang diperoleh daripada hasil gajinya itu tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia.
“Suspek perempuan itu pula kemudian meminta bantuan daripada seorang lagi rakan (suspek perempuan yang kedua) untuk meminjamkan akaun CIMB kepadanya sebelum kedua-duanya mengaku telah mengeluarkan wang yang dikirim oleh suspek lelaki tersebut dan menyerahkan kepadanya sebaik sahaja lelaki itu tiba ke Malaysia,” katanya.
Tambah Thaiveegan, ketiga-tiga suspek telah direman selama empat hari bermula Rabu lalu dan ketika ini kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, sebanyak 14 kes penipuan Macau Scam yang melibatkan kerugian mencecah RM486,050 berjaya ditumpaskan ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang setakat ini.
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 212 kes berkaitan yang turut melibatkan kontinjen-kontinjen lain dengan jumlah kerugian terkumpul setakat ini dianggarkan mencecah RM4.5 juta. – UTUSAN ONLINE










