KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kementerian Kewangan mahu melakukan penilaian secara menyeluruh terhadap kapal layar mewah, Equanimity dikaitkan dengan skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebaik sahaja ia tiba di negara ini esok.
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, langkah itu bagi memastikan wang daripada aset itu dapat dipulangkan kepada rakyat.
Menurut beliau, kementerian juga mahu mendapatkan nilai yang paling baik sekiranya kapal layar mewah itu dijual.
“Kita mahu mendapatkan nilai terbaik aset kapal layar mewah itu agar kita boleh dapat pulangan. Kalau membiarkan begitu sahaja, kita juga perlu membayar kos penyelenggaraan.
“Jadi, kerajaan akan cuba mendapatkan semula wang dengan penyitaan kapal Equaminity yang tiba di negara ini esok serta akan dinilai kerana ada pelbagai aset berharga di dalamnya, bukan sekadar kapal itu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini. – UTUSAN ONLINE










