KUALA LUMPUR 6 Ogos – Seorang pengemis wanita warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera dua anak saudaranya sehingga cedera, bulan lalu.
Dehena Bi Abdul Rahim, 19, didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di rumah setinggan, Kampung Chubadak Tambahan, Pasar Sentul, Sentul di sini antara pukul 9 pagi dan 12 tengah malam, antara Januari lalu dan 17 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan penderaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Pertuduhan terhadap ibu anak dua itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Hakim Mahyon Talib tidak membenarkan tertuduh diikat jamin ekoran tiada penjamin yang hadir dan menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










