Penduduk tagih janji tutup projek kuari - Utusan Malaysia

Penduduk tagih janji tutup projek kuari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING 6 Ogos – Penduduk yang menetap di sepanjang kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling di sini melahirkan rasa gembira apabila kerajaan negeri memberi jaminan akan membatalkan projek kuari Gunung Pulai itu demi kesejahteraan kehidupan seha­rian mereka.

Isa Che Endut
ISA CHE ENDUT

Rata-rata penduduk yang ditemui berharap pihak berkenaan dapat mengotakan janji mereka itu untuk memastikan persekitaran alam semula jadi di kawasan itu sentiasa dipulihara.

Penduduk, Isa Che Endut, 52, berkata, penduduk bermati-matian menghalang projek kuari batu itu diteruskan sebelum ini yang didakwa menggugat kehidupan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak perlu meneruskan projek kuari batu kerana kawasan ini lebih sesuai dengan projek pelancongan kerana kawasan persekitaran gunung ini berpotensi dimajukan sebagai tarikan pelancongan baharu kerana nilai wa­risan yang dimilikinya,” katanya ketika ditemui di kaki Gua Kelambu, di sini hari ini.

Katanya, kawasan itu juga mempu­nyai sejarah lampau berkaitan perdaga­ngan zaman da­hulu kerana Sungai Ketil yang mengalir di kaki gunung adalah laluan perhubungan dan perdagangan.

Haryati Hamid
HARYATI HAMID

Sementara itu, Pe­ngerusi Persatuan Belia Lubuk Pedati, Haryati Hamid berkata, pembinaan kuari batu itu bukan sahaja dibimbangi penduduk berdekatan sahaja, malah seluruh penduduk daerah ini yang turut bangkit membantah.

“Jangan ditambahkan lagi ke­rosakan yang ada di kedua-dua gunung ini kerana kami tidak mahu ia memusnahkan persekitarannya dan memberi kesan buruk kepada penduduk serta khazanah alamnya.

“Khazanah alam yang terdapat di Gunung Pulai akan musnah sama sekali untuk generasi akan datang sekiranya projek itu dite­ruskan,” katanya.

Katanya, selain mendaki, Gunung Pulai sememangnya menjadi tarikan utama kepada aktiviti pelancongan kepada mereka yang ingin melihat pembentukan gua-gua batu kapur yang cantik se­perti Gua Kelambu, Gua Matahari, Gua Bunian, Gua Layang-Layang, Gua Tembus dan Gua Ikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×