ALOR SETAR 7 Ogos – Pemuda UMNO negeri mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertindak segera mengharamkan sebarang program mempromosikan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang dilihat semakin berleluasa tanpa pengawasan sewajarnya.
Ketuanya, Mohamad. Fadzil Zolkipli berkata, tindakan tegas harus diambil memandangkan beberapa individu dilihat tekun selain bergiat aktif dalam mempromosi dan memperjuangkan LGBT.
Katanya, golongan terbabit juga semakin melampau apabila tidak menghiraukan tatasusila agama dan budaya dengan mengeluarkan beberapa kenyataan biadap terhadap kritikan dari penentang agenda LGBT.
“Kenyatan demi kenyataan yang mempromosi LGBT dan menuntut hak sama rata terhadap golongan itu merisaukan orang Islam, apatah lagi apabila kerajaan bersikap seolah merestui tindakan kumpulan itu.
“Tindakan mereka juga seperti mendapat lampu hijau daripada pemimpin kerajaan PH sekarang apabila tanpa segan silu menganjur Festival George Town pada 4 Ogos lalu sehingga 2 September ini di Georgetown yang mendapat tajaan utama daripada Kerajaan PH Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, perkara itu amat mendukacitakan apabila pemimpin PH yang langsung tidak menunjukkan sensitiviti mereka terhadap orang Islam yang merupakan majoriti di negara ini malah Islam adalah agama rasmi.
“Kami menghormati kebebasan serta hak semua rakyat namun sewenang-wenangnya mahu melakukan perbuatan yang melanggar hukun agama dan budaya bukanlah satu kebebasan yang boleh kita toleransi.
“Hukum tetap hukum yang tidak boleh disangkal dengan hanya menggunakan akal fikiran sahaja,” katanya.
Tegasnya, bukan Islam sahaja yang menentang LGBT malah semua agama termasuk Kristian Hindu dan Buddha juga menolak gerakan tersebut yang tersasar dari fitrah manusia dan hukum alam.
“Gejala LGBT ini jika tidak diambil tindakan membendung segera ditakuti akan menjalar ke dalam masyarakat yang akan membawa lebih kemudaratan dan kerosakan sosial masyarakat dalam negara kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










