Pembangkang tolak keputusan pilihan raya - Utusan Malaysia

Pembangkang tolak keputusan pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARARE 3 Ogos – Presiden Zim­babwe, Emmerson Mna­ngagwa, bekas sekutu Robert Mugabe, disahkan memena­ngi pilihan raya selepas keputusan rasmi dikeluarkan awal pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Zimbabwe (ZEC), Mnangagwa meraih 50.8 pe­ratus undi, mengatasi pencabarnya daripada parti MDC, Nelson Chamisa dengan 44.3 peratus.

“Mnangagwa daripada parti ZANU-PF dengan ini diumumkan sebagai Presiden Zimbabwe,” umum pengerusi ZEC, Priscilla Chigumba.

Sementara itu, Mnangagwa melahirkan perasaan gembira selepas memenangi pilihan raya selain menyifatkan kemenangan itu sebagai ‘permulaan baharu’ untuk negara.

“Walaupun kita mungkin tidak sehaluan ketika me­ngundi, kita tetap bersatu da­lam cita-cita kita. Ini adalah permulaan baharu,” katanya menerusi Twitter.

Dalam pada itu, enam terbunuh apabila pihak tentera negara ini bertindak ke atas penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah keputusan pilihan raya sebelum kemenangan Mnangagwa diumumkan secara rasmi.

Jurucakap MDC, Morgan Komichi menyelar kiraan undi yang dilakukan oleh ZEC de­ngan menyifatkannya sebagai ‘palsu’ sebelum diarahkan beredar oleh polis.

Selepas Mnangagwa diumumkan menang, Komichi menyatakan partinya enggan menerima keputusan tersebut.

“Kami akan membawa per­kara ini ke mahkamah,” ujar­nya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN