Peluang sambar pingat - Utusan Malaysia

Peluang sambar pingat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin berpotensi memenangi pingat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia berdasarkan carta ranking 100 terbaik dunia dalam acara itu untuk tahun ini.

Catatan tahunan terbaik Irfan, 23, untuk tahun 2018 ialah 60.77 meter (m) dilakukan pada Kejohanan Gala Olahraga Merksem di Antwerp, Belgium awal bulan lalu.

Berdasarkan catatan tersebut, Irfan berada pada kedudukan keempat terbaik Asia, sekali gus memberikan bayangan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA dari 2011 hingga 2017 itu berpeluang meraih sesuatu pada Sukan Asia 2018.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Irfan yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55m dilakukan di Linz, Austria tahun lalu, lebih berminat menumpukan fokus terhadap persembahan sendiri daripada merisaukan mengenai kebolehan tiga pencabar utamanya.

“Saya bermotivasi tinggi selepas mendapat tahu saya berada pada ranking keempat Asia ketika ini. Walaupun sudah berada di ranking keempat tetapi saya tetap mahu cuba memberikan prestasi yang lebih baik.

“Ini adalah sukan individu, jadi saya tidak perlu risau untuk mengkaji pesaing-pesaing dan pergerakan mereka. Saya tidak perlu kisah mengenai orang lain, saya cuma perlu tumpu kepada prestasi sen­diri.

“Saya ada sasaran sendiri dan mengharapkan yang terbaik, namun perkara paling penting ialah saya perlu mengelak daripada me­ngalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 dari Iran, Ehsan Hadadi dijangka mempertahankan gelarannya pada Sukan Asia 2018 kerana jarak 68.85m dilakukannya di California, Amerika Syarikat pada April lalu merupakan catatan tahunan kelima terbaik dunia tahun ini.

Ranking kedua Asia menjadi milik atlet Jepun, Masateru Yugami dengan lemparan sejauh 62.16m, manakala seorang lagi wakil Iran, Shiri Behnam berada pada tempat ketiga menerusi catatan tahunan terbaik 61.82m.

Ketiga-tiga atlet tersebut akan berentap dengan Irfan sebaik acara lempar cakera berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pada 29 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×