LONDON 6 Ogos – Seorang kakitangan syarikat penerbangan British Airways menuduh syarikat penerbangan itu mengamalkan dasar bersifat seksis selepas dia dipecat gara-gara menggayakan rambut bersanggul ketika bertugas.
Menurut portal Mail Online, Sid Ouared, 26, mendakwa kontraknya ditamatkan selepas enggan mematuhi arahan pihak pengurusan yang menuntutnya untuk memotong rambut kerana telah melanggar dasar pakaian seragam badan itu.
Bekas kakitangan perkhidmatan pelanggan dan pemeriksa bagasi di Lapangan Terbang Heathrow itu berkata, salah seorang penyelianya pernah memberi amaran ketika dia sedang bertugas dan memberitahu rambutnya seperti rambut seorang gadis.
“Mereka mengarahkan saya memotong rambut atau memakai serban seperti kaum Sikh atau pun mengikat tocang halus ala dreadlock seperti penganut Rastafarin.
“Saya tidak suka menggayakan rambut seperti itu dan saya tidak percaya mereka memaksa saya menggayakan rambut saya seperti sesuatu yang bukan diri saya,” katanya.
Kontrak Ouared ditamatkan bulan lalu selepas hanya dua minggu bekerja dan warga London itu tampil di media mengkritik British Airways kononnya masih terperangkap dalam tahun 1970-an.
Dia mendakwa mengalami diskriminasi kerana sering menyanggul rambutnya yang dianggap hanya sesuai untuk wanita tetapi tidak bagi golongan lelaki.
“Saya diberitahu saya tidak boleh menggayakan rambut saya dengan mengikatnya menjadi sanggul tinggi kerana hanya kakitangan wanita dibenarkan berbuat demikian.
“Jadi kerana saya bukan seorang wanita, saya tidak dibenarkan mempunyai rambut dalam gaya itu. Ia adalah seksis mutlak,” dakwanya.
Dasar seragam syarikat penerbangan British Airways mengatakan lelaki berambut panjang perlu menocang rambut mereka, tidak seperti kakitangan wanita yang dibenarkan untuk membuat beberapa gaya rambut.
Jurucakap British Airways ketika diminta mengulas berkata, pihaknya enggan memberi sebarang komen mengenai kes individu yang jarang berlaku itu.










