KUALA LUMPUR 7 Ogos – Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilihat hadir ke kediaman peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta di sini hari ini.
Beliau dilihat berada di kediaman itu sebelum bekas Perdana Menteri dijangka memberi keterangan semula di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Beliau dilihat memasuki perkarangan rumah Najib pada pukul 3.50 petang seorang diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Audi.
Bekas Perdana Menteri itu akan memberi keterangan sekali lagi bagi membantu siasatan kes SRC International Sdn. Bhd., pukul 5 petang ini.
Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan difahamkan akan memberi keterangan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku di sini.
Menurut sumber, Najib akan disiasat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2011.
“Beliau juga akan diberi notis perintah hadir ke mahkamah esok dibawah akta yang sama buat kali kedua,” katanya. – UTUSAN ONLINE










