KLANG 9 Ogos – Sebuah pasukan khas dari Jabatan Peguam Negara akan melakukan pemeriksaan sebaik sahaja kapal ‘The Equanimity’ milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low tiba di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang pukul 12 tengah hari ini.
Kapal tersebut berlepas dari dari perairan Batam, Indonesia pukul 4.45 petang semalam.
Sumber keselamatan memberitahu, selepas pasukan khas tersebut selesai melakukan pemeriksaan baharu mesyuarat akan diadakan di antara semua jabatan pihak berkuasa yang ditugaskan menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pihak media juga tidak benarkan berada berdekatan kapal tersebut tetapi dibenarkan mengambil gambar atau video dari jarak yang akan ditentukan pihak berkuasa.
Kapal yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan 1MDB itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa Indonesia ekoran siasatan yang dilakujan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.
Kerajaan Indonesia kemudian menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semasa kunjungannya ke negara berkenaan Jun lalu.
Dr. Mahathir dalam kenyataannya melalui facebook semalam menzahirkan penghargaan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan pihak berkuasa Indonesia kerana menyerahkan ‘The Equanimity’ kepada Malaysia.- UTUSAN ONLINE










