ROM – Bintang baharu AS Roma, Javier Pastore sedia beraksi pada posisi berbeza di bawah kendalian ketua jurulatih pasukan itu, Eusebio Di Francesco selepas menandatangani kontrak daripada Paris Saint-Germain (PSG) baru-baru ini.
Kebiasaannya, Pastore, 29, akan bermain sebagai pemain tengah menyerang tetapi kali ini dia akan menggalas tanggungjawab berbeza dengan lebih mengutamakan aspek pertahanan buat kali pertama dalam kariernya.
“Roma bermain formasi 4-3-3, saya sudah tahu mengenai perkara ini selepas Di Francesco menjelaskannya secara terperinci kepada saya sebelum bersetuju mengikat kontrak sebelum ini.
“Saya akan lebih banyak beraksi di bahagian tengah padang dan perlu turun membantu rakan-rakan sepasukan dalam aspek pertahanan. Saya bersetuju kerana saya percaya dengan kemampuan sendiri,” katanya.
Sebagai rekod, Pastore yang menyertai Roma dengan nilai perpindahan €24.7 juta (RM116.8 juta), pernah mendedahkan faktor utama penghijrahannya disebabkan PSG membeli Neymar, sekali gus menyaksikan peluangnya beraksi amat terhad.
Ia secara tidak langsung menjejaskan peluangnya untuk mendapat tempat dalam skuad antarabangsa Argentina pada Piala Dunia 2018 di Rusia bulan lalu.
Nama Pastore ‘meletup’ selepas PSG membelinya daripada kelab Itali, Palermo dengan nilai perpindahan €39.8 juta (RM188.2 juta) pada 2011. – Agensi










