Parlimen kecoh gara-gara Bung Moktar sebut perkataan lucah - Utusan Malaysia

Parlimen kecoh gara-gara Bung Moktar sebut perkataan lucah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Sesi perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengeluarkan perkataan berunsur lucah.

BUNG MOKHTAR RADIN
BUNG MOKHTAR RADIN

Kata-kata kurang sopan itu dikeluarkan oleh Bung Moktar apabila beliau berang dengan perkataan ‘kasino’ yang diucapkan oleh Willie Mongin (PH-Puncak Borneo).

“Ini biadab, ini kurang ajar. Tarik balik, ini biadab Yang Dipertua .  Yang Berhormat tidak layak duduk sini, samseng. What do you want? You nak gaduh dengan saya ini time, f** you. F** you. Kau salah orang,” katanya. 

Beberapa penyokong kerajaan seterusnya meminta Bung Moktar keluar dari sidang kerana mengeluarkan kata-kata kesat tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon seterusnya mengingatkan para wakil rakyat supaya tidak menyentuh perkara yang bersifat peribadi.

Kekecohan reda apabila sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sementara untuk waktu rehat.

Sebaik sahaja Dewan Rakyat bersidang semula, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (BN-Beluran) meminta mana-mana  ahli Parlimen yang mengeluarkan kata-kata kesat agar menarik balik ucapan mereka.

Selain itu, P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) turut meminta kedua-dua pihak iaitu Bung Moktar dan Willie meminta maaf kerana berkelakuan tidak sopan di dalam Dewan Rakyat.

Mohd. Rashid seterusnya berkata, banyak perkataan yang perlu ditarik balik dan tidak sepatutnya diucapkan di dalam dewan.

“Jadi, saya yang mempengerusikan majlis pada tengah hari ini, perkataan empat huruf yang diucapkan oleh Kinabatangan, saya harap ditarik balik,” katanya.

Sejurus kemudian, Bung Moktar bangkit untuk memohon maaf dan menarik balik perkataan yang diucapkannya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN