KETIADAAN Patrick Cruz ternyata menghadirkan masalah kepada Pahang seperti digambarkan pada aksi pasukan itu ketika terikat 1-1 menentang Sabah dalam aksi saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh turut mengakui beliau sukar mendapatkan pemain yang mampu menggantikan Cruz setelah menyaksikan Iwuji Amutu juga gagal memainkan peranan dengan cukup berkesan di bahagian serangan pada aksi kelmarin.
“Amutu belum mencapai impak yang diharapkan. Dia mungkin tak sesuai dengan Pahang. Kita juga kerap hilang rentak permainan kerana Amutu tak banyak buat pergerakan untuk mencipta peluang.
“Sejak Patrick (Cruz) tak ada (direhatkan akibat kecederaan kaki), kita tak dapat cipta peluang kerana tak ada penyerang,” ujar Dollah ketika sidang akhbar sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Pada aksi tersebut, Pahang terlebih dahulu mencetak gol menerusi Amutu di penghujung babak pertama, namun gagal menambah jaringan setelah penyerang skuad pelawat, Hector Ramos berjaya mengikat kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-47.
Mengulas lanjut, Dollah berkata, kekurangan di bahagian serangan sekali gus merencatkan rentak permainan Pahang yang tampak bergelut untuk menambah jaringan pada sepanjang aksi babak kedua.
Selain itu, Dollah menambah, beberapa pemain juga tidak mengekalkan disiplin mengikuti rentak permainan terutama ketika rakan-rakan mereka bersedia memulakan aksi serangan.
“Saya lihat pemain masih tercari-cari rentak permainan terutama semasa serangan sehingga kita tak ada impak untuk menjaringkan gol. Hari ini (kelmarin), disiplin kurang sedikit (tidak memuaskan).
“Apabila hendak menyerang, ramai pemain masih tertinggal di belakang (tidak ikut rentak). Kita kekurangan pemain (di barisan hadapan) semasa membuat serangan,” tambah Dollah.
Sehubungan itu, Dollah berkata, Pahang mungkin terdedah kepada pelbagai risiko menjelang pertemuan menentang Selangor selepas ini sekiranya segala kelemahan tersebut tidak diatasi segera oleh para pemain.










