PUTRAJAYA 6 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempertikai komposisi panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang akan mendengar permohonan semakan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung saman terhadap beliau berkaitan isu salah laku dalam pentadbiran.
Bekas Perdana Menteri mahukan empat hakim tertinggi daripada panel tujuh hakim bersidang, dikecualikan daripada mendengar permohonan semakan Dr. Mahathir bagi mengelak kemungkinan wujud berat sebelah dalam prosiding itu.
Mereka terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Dah.
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili bekas Perdana Menteri ketika membangkitkan isu awalan itu berkata, pelantikan keempat-empat hakim berkenaan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selepas mendapat nasihat Perdana Menteri yang juga merupakan pemohon dalam permohonan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan persoalan sama ada keempat-empat hakim tersebut wajar menarik diri daripada mendengar permohonan semakan bagi mengelak persepsi awam bahawa kemungkinan wujud berat sebelah dalam pendengaran tersebut.
Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr. Mahathir berkata, isu ketidaksesuaian komposisi hakim terlebih dahulu telah dibangkitkan ketika anak guamnya mengemukakan permohonan kebenaran merayu sebelum ini.
Jelasnya, ketika itu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif mengetuai panel bersidang namun telah dibantah oleh Dr. Mahathir kerana beliau turut memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keperlembagaan lanjutan pelantikan Raus selaku Ketua Hakim Negara.
Bagaimanapun, ujar Mohamed Haniff Khatri, Raus mengambil pendirian untuk tidak menarik diri dan memutuskan untuk meneruskan pendengaran kebenaran merayu.
Mohamed Haniff Khatri kemudian mencadangkan prosiding ditangguhkan bagi membolehkan satu lagi pendengaran melibatkan isu yang sama berhubung definisi pegawai awam, diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Pihaknya juga akan memohon untuk bertindak selaku sahabat mahkamah (amicus curiae).
Ujarnya, pendengaran itu berkaitan permohonan kebenaran merayu oleh Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee terhadap Najib yang juga melibatkan isu dakwaan salah laku dalam pejabat awam, yang akan didengar pada 5 November ini.
Menurut Mohamed Haniff Khatri, penangguhan itu juga bagi membolehkan Peguam Negara memohon kebenaran selaku sahabat mahkamah atas alasan isu yang dibangkitkan melibatkan pegawai awam yang menjadi kepentingan kepada jabatan itu.
Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara menangguhkan permohonan semakan dan menetapkan permohonan itu didengar selepas permohonan Tony Pua diputuskan.
Mahkamah tertinggi negara hari ini sepatutnya mendengar permohonan semakan Dr. Mahathir untuk mengetepikan keputusan satu panel lain pada 27 Februari lalu yang menolak permohonannya bagi mendapat kebenaran merayu.
Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan keputusan panel itu terhadap tafsiran undang-undang yang menyatakan Najib tidak boleh disaman kerana beliau merupakan anggota pentadbiran Persekutuan, bukan penjawat awam.










