ALOR SETAR 1 Ogos – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini menafikan terlibat dalam sebarang urusan penganugerahan kontrak RM11.16 juta daripada Telekom Malaysia Bhd. (TM) kepada pengeluar produk fiber optik, Opcom Holdings Bhd. (Opcom) baru-baru ini.
![]() |
|
MUKHRIZ
|
Katanya, walaupun masih mempunyai pegangan saham Upcom namun beliau meletakkan semua jawatan dalam syarikat yang diasaskannya itu sejak 2009.
Beliau turut mendakwa saham itu tersebut kini dicagarkan kepada bank selain diisytiharkan kepada Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya meletak jawatan dalam syarikat itu sebelum menjadi timbalan menteri lagi pada 2009 jadi apa jua keputusan dibuat Opcom saya tidak langsung terlibat mahu pun ambil tahu.
“Saya tidak ada kuasa untuk mempengaruhi keputusan pihak yang menganugerahkan projek (TM) tersebut.
“Perkara itu semua termasuk dalam pengisytiharan aset dan liabiliti kepada Perdana Menteri dan SPRM akan kita dedahkan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Sistem MyReCourt Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Semalam timbul beberapa dakwaan di laman sosial mengatakan Opcom yang meraih projek TM bernilai RM11.16 juta dimiliki melalui pegangan saham oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir, isterinya, Datin Seri Norzieta Zakaria dan dipengerusikan Tan Sri Mokhzani Mahathir. – UTUSAN ONLINE











