TEMERLOH 9 Ogos – Maahad Tahfiz al-Istiqamah (Mtis) Temerloh Kampung Padang Lalang merayu sumbangan orang ramai bagi membina sebuah asrama di tapak maahad tahfiz yang terletak di Kampung Padang Lalang di sini.
Pengetua Mtis, Zarimi Shubrawi berkata, pada masa ini pihaknya berusaha membina asrama berkenaan secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan dari semasa ke semasa.
“Pembinaan asrama ini memerlukan kos kira-kira RM190,000 dalam usaha kita untuk menerima lebih ramai pelajar dari semasa ke semasa.
“Jadi saya berharap pembinaan asrama ini akan dapat direalisasikan pada tahun hadapan dengan komitmen dan bantuan daripada orang ramai,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Zarimi, maahad tahfiz yang beroperasi pada tahun lalu dengan 18 pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan itu mempunyai 15 tenaga pengajar.
Katanya, kewujudan asrama berkenaan akan membolehkan maahad tahfiz berkenaan menerima kira-kira 60 pelajar dalam satu-satu masa.
Beliau berkata, meskipun baharu beroperasi, maahad tahfiz berkenaan telah berjaya mencapai kejayaan memberangsangkan apabila dua pelajarnya berjaya menjadi juara majlis Ujian Kelayakan Tilawah dan Hafazan al-Quran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Peringkat Negeri Pahang 2018 baru-baru ini.
“Kejayaan dua pelajar iaitu Muhammad Aqasya Zulkelfe dan Hafsah Mohd. Saiful itu sekali gus melayakkan dua pelajar tersebut mewakili Pahang pada majlis Ujian Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Zon Pantai Timur di Terengganu pada Ogos ini,” kataya.
Orang ramai dan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 019-9610849 atau menyalurkan sumbangan terus kepada akaun Maybank (556057511595) ataupun CIMB (8602558450) di bawah nama Akademi Al Istiqamah.










