KUALA LUMPUR 1 Ogos – Sebanyak 100 anak pokok ditanam Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang turut dijayakan bersama Komuniti Rejuvenasi Sungai Kuyoh di sekitar Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, antara jenis pokok yang ditanam adalah meranti tembaga, meranti lenggong, kelat paya, kelat jambu laut dan tulang daing.
Katanya, usaha tersebut bertujuan meningkatkan elemen penyerapan karbon dan pengeluaran oksigen serta menambah nilai estetika di kawasan sedia ada dalam usaha menghijaukan landskap setempat.
“Program dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah itu diteruskan dengan aktiviti pembersihan Sungai Kuyoh yang digerakkan oleh Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 22 MPSJ.
“Gotong-royong turut disertai pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), sukarelawan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan penduduk setempat,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











