Mesej untuk PH kerana gagal tunai janji, jamin kedudukan Islam, Melayu - Utusan Malaysia

Mesej untuk PH kerana gagal tunai janji, jamin kedudukan Islam, Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 1 Ogos – Keputusan Pas untuk tidak menyokong calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis merupakan satu mesej bahawa kerajaan baharu gagal menunaikan janji terkandung dalam manifesto.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PH juga gagal memberi jaminan bahawa institusi Islam, kedudukan raja-raja Melayu dan kepentingan orang Melayu tidak akan terancam di bawah pemerintahannya.

“Pas mengekalkan pendirian tidak menurunkan jentera pilihan raya dalam PRK DUN Sungai Kandis, sebaliknya meneruskan program yang dirancang bagi mengukuhkan parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pendirian Pas juga berasaskan kepada perlunya proses semak dan imbang dalam Kerajaan Selangor yang hanya boleh dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Manakala pertimbangan utama Pas adalah supaya kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara dapat dijamin serta dilaksanakan oleh kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Takiyuddin lagi, kenyataan beberapa pemimpin semasa mengisi program yang diatur oleh parti termasuk di kawasan Sungai Kandis adalah tidak bercanggah dengan pendirian parti.

Selain itu katanya, Pas juga akur serta menerima penuh pandangan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin yang menasihatkan pengundi Sungai Kandis supaya tidak memilih calon dari parti yang dilihat boleh membawa kemudaratan kepada Islam, rakyat dan negara.

“Justeru berdasarkan senario di atas, saya menyeru semua pengundi di DUN Sungai Kandis terutama dalam kalangan ahli dan penyokong Pas supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan jangan sekali-kali menyebabkan undi rosak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN