KUALA LUMPUR – Orang ramai boleh melihat planet Marikh dalam keadaan paling terang dan cerah dengan mata kasar pada pukul 9 malam ini apabila ia dikatakan akan berada di kedudukan paling dekat dengan Bumi selepas 15 tahun.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Chong Hon Yew (gambar kecil) berkata, planet tersebut paling dekat dengan bumi adalah pada 31 Julai lalu tetapi ia masih boleh dilihat dengan jelas selama tempoh kira-kira dua minggu ini.
Katanya, pada 31 Julai lalu, Marikh yang turut dikenali sebagai planet merah berada di kedudukan 57.59 juta kilometer (km) dan ketika ini ia semakin menjauh tetapi masih boleh dilihat dengan jelas.
Planet Marikh kali terakhir berada paling dekat dengan Bumi ialah pada tahun 2003 dengan kedudukan 55.75 juta km iaitu jarak paling dekat dalam tempoh hampir 60,000 tahun.










