KUALA LUMPUR 13 Ogos – Malaysia mahu membatalkan beberapa projek infrastruktur yang ditandatangani bersama China pada zaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha keluar daripada belenggu hutang.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dalam masa sama beliau mahu mengekalkan hubungan baik dengan China dan mengalu-alukan sebarang bentuk pelaburan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Kami tidak rasa kami memerlukan dua projek berkenaan. Kami tidak fikir ia berdaya maju. Jadi, jika boleh kami berhasrat melepaskan projek berkenaan.
“Sekiranya pembatalan projek tidak boleh dilakukan, Malaysia perlu sekurang-kurangnya menundanya sehingga ke suatu masa ‘di mana mungkin keperluannya meningkat’,” katanya dalam temu bual bersama The Associated Press (AP) di sini hari ini.
Kementerian Kewangan sebelum ini mengeluarkan Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan bagi tiga projek berbilion ringgit iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, notis berkenaan dikeluarkan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) pada 3 Julai 2018 kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) yang menguruskan projek MPP dan TSGP serta China Communications Construction Company (CCCC) iaitu kontraktor utama ECRL.
Mengulas tindakan China membina pulau buatan manusia dilengkapi radar dan stesen peluru berpandu bagi memperkukuhkan kedudukan dan tuntutan di Laut China Selatan, Dr. Mahathir menggesa China supaya menghormati pergerakan bebas kapal-kapal di Laut China Selatan.
“Semua kapal termasuk kapal perang melalui Laut China Selatan namun bukan untuk penempatan. Ini amaran kepada semua pihak. Jangan cipta ketegangan,” katanya.
Selain itu, Dr. Mahathir turut meluahkan kekecewaan dengan cara kerajaan Myanmar dan kepemimpinan utamanya, Aung San Suu Kyi menyelesaikan permasalahan etnik Islam Rohingya di negara tersebut.
“Apa yang mereka telah lakukan tidak adil, membunuh manusia, pembunuhan beramai-ramai. Itu bukan cara masyarakat bertamadun bertindak,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini Malaysia menghentikan sementara waktu komitmen menerima kehadiran pelarian Rohingya berikutan masalah pendatang asing tanpa dokumen yang masih ramai di negara ini.











