Lorenzo raih gelaran GP Austria - Utusan Malaysia

Lorenzo raih gelaran GP Austria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SPIELBERG – Ducati terus mendominasi Grand Prix (GP) Austria bagi kategori Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila pelumbanya, Jorge Lorenzo muncul juara pada perlumbaan di Litar Red Bull Ring semalam.

Lebih manis, kejayaan itu turut me­nyaksikan seorang lagi pelumba Ducati, Andrea Dovizioso menjejakkan kaki ke podium di kedudukan ketiga, manakala penunggang jentera Repsol Honda, Marc Marquez muncul naib juara.

Lorenzo dan Marquez berjaya mencuri tumpuan penonton pada penghujung perlumbaan apabila kedua-dua pelumba berpengalaman itu saling mencabar satu sama lain bagi merebut kedudukan pertama, namun tuah lebih memihak kepada Lorenzo.

Lorenzo yang juga juara dunia tiga kali berkata, dia cuba mengerah jenteranya sehingga tahap maksimum pada 10 pusi­ngan terakhir meskipun dilihat sedikit ketinggalan pada awal perlumbaan.

“Saya tidak sangka Marc begitu pantas hari ini (semalam) terutama­nya pada awal perlumbaan tetapi saya enggan memintasnya terlalu awal kerana mahu memastikan tayar dalam keadaan baik. Apabila perlumbaan memasuki 10 pusingan terakhir, saya berikan segala-galanya untuk mencabar Marc.

“Marc cukup bijak apabila menggunakan selekoh ketiga untuk memintas tetapi saya cuba bertahan dan kekalkan fokus sehingga tamat perlumbaan. Saya akui tuah memihak kepada saya kali ini,” kata Lorenzo sejurus tamat perlumbaan.

Tambah pelumba Sepanyol itu, dia mengakui melakukan sedikit kesilapan pada selekoh ketiga sehingga memboleh­kan Marquez mengambil kesempatan ke atasnya, namun kekuatan mental nyata membantunya.

“Sangat sukar untuk kekal berada dalam garisan perlumbaan pada selekoh ketiga dan itulah peluang Marc memintas saya. Bagaimanapun, saya kembali pantas pada sektor ketiga, sekali gus membantu saya memenangi perlumbaan,” ujarnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN