SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berjanji akan menyelesaikan masalah pusat pelupusan sampah secara haram di Teluk Menegun sekiranya diberikan mandat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini.
Beliau berkata, perkara tersebut menjadi fokus utamanya memandangkan ia telah lama berlarutan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, ini termasuk dalam masalah bau dan penyebaran penyakit akibat lalat dan nyamuk yang membawa denggi.
“Kalau saya menang tempat pertama saya akan pergi adalah pusat pelupusan sampah itu.
“Saya ada mekanisma sendiri dalam memastikan pusat pelupusan sampah itu ditutup selamanya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Difahamkan pusat pelupusan sampah haram di Teluk Menegun itu telah wujud sejak empat tahun lalu selepas tapak pelupusan Bukit Badak ditutup.
Menurut beliau, aduan-aduan yang dilakukan oleh penduduk sebelum ini nyata diambil berat oleh pihak berkuasa tempatan yang bertindak seperti melepaskan batuk di tangga.
Ujarnya, ini berikutan pusat pelupusan itu hanya akan ditutup selama dua hari sebelum dibuka semula dan berterusan sehingga kini.
“Tanah di kawasan tersebut tidak digazetkan untuk tapak pelupusan sampah.
“Saya lihat kalau tiada perlindungan daripada kerajaan negeri sudah pasti pusat sampah itu tidak akan bermaharajalela. Tentu ada geng-geng besar (yang melindungi kawasan itu),” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan amat mengetahui isu tempatan seperti masalah longkang, jalan raya dan sampah tidak terurus namun enggan memainkannya berikutan menghormati rakannya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei.
“Kalau saya serang sekarang maknanya saya serang sahabat saya sendiri. Bukan sekarang, tunggu kalau saya menang nanti,” jelasnya. – K! ONLINE










