KULAI 1 Ogos – Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.35 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, di sini kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pukul 8.30 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Dalam serbuan itu, kita telah merampas sejumlah dadah disyaki pil ekstasi, erimin 5, syabu, ketamin, serbuk dan cecair dipercayai dadah serta peralatan memproses bahan larangan itu.
“Selain dadah, kita turut merampas wang tunai sebanyak RM5,150, dua buah kereta jenama Proton Waja dan Perodua Myvi, seutus jam tangan, seutas rantai leher, sebentuk cincin dan dua telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM54,350,” katanya, di sini hari ini.
Mohd. Khalil berkata, suspek direman hingga Isnin ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE










