AKTAU, KAZAKHSTAN 12 Ogos – Rusia, Iran, Azerbaijan, Kazakhstan dan Turkmenistan hari ini menandatangani konvensyen status perundangan laut Kaspia, isu yang telah dipertikaikan oleh kelima-lima negara itu sejak lebih dua dekad.
Pemimpin negara-negara berkenaan berhimpun di sini untuk menandatangani dokumen tersebut namun tidak memberi perincian tentang perjanjian berkenaan.
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, penyelesaian status perundangan laut berkenaan akan `mewujudkan kerjasama antara kesemua negara ke tahap baharu kualitatif perkongsian bagi pembangunan kerjasama lebih rapat untuk landasan yang lain’.
Rakan sejawatnya dari Iran, Hassan Rouhani berkata, persempadanan laut yang kaya dengan minyak dan gas itu memerlukan perjanjian tambahan antara kesemua negara.
Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbaev pula berkata, kesemua pihak bersetuju untuk mewujudkan `mekanisme khas rundingan lima pihak di bawah Menteri-Menteri Luar’ untuk melaksanakan syarat konvensyen.
Dasar laut Kaspia menyimpan sumber hidrokarbon bernilai trilion dolar selain mampu menghasilkan 50 bilion tong minyak dan hampir sembilan trilion meter kubik gas asli. – Reuters/Agensi











