KUALA LUMPUR 12 Ogos – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR diminta supaya mempertimbangkan bagi melanjutkan tempoh kempen kepada para perwakilan khususnya calon-calon dari Selangor yang bertanding di peringkat pusat.
![]() |
|
NAJWAN
|
Calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Najwan Halimi berkata, pertimbangan itu wajar diteliti kerana calon-calon berkenaan akan terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia yang dijangka berlangsung serentak pada 8 September ini.
“Kempen sudah bermula, mungkin minta parti lanjutkan tempoh kempen untuk memberi ruang yang lebih adil kepada para perwakilan khususnya calon dari Selangor seperti saya.
“Selepas ini kami akan sibuk dengan kempen di dua PRK DUN iaitu Balakong dan Seri Setia, maka mungkin akan ada keterbatasan dalam menjalankan kempen pemilihan parti,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik menyampaikan hadiah kepada Nur Fatiha Sazreen Feroze Khan Noon yang terpilih sebagai Duta Produk Kecantikan, Al-Hur Beauty 2018 di sini hari ini.
Najwan akan merebut jawatan Ketua AMK dengan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir dalam Pemilihan PKR 2018. – UTUSAN ONLINE












