PUTRAJAYA – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya modul kursus yang dihadiri hakim-hakim beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lalu, berunsur politik dan bertujuan mengdoktrin pemikiran hakim-hakim.
PKPMP dalam satu kenyataan akhbar hari ini menjelaskan, bahawa kursus yang dinamakan “Program Latihan Transformasi Negara” itu telah dirancang lebih awal dan hanya secara kebetulan sahaja ia dijalankan sebelum PRU14.
“Modul kursus ini adalah berbentuk ‘team-building dan generic’ bagi meningkatkan semangat patriotisme, menerapkan semangat kerja berpasukan dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan warga PKPMP,” kata kenyataaan itu.
PKPMP berkata, modul kursus adalah di bawah seliaannya (PKPMP) sendiri yang menerapkan unsur-unsur kenegaraan dan bukan dikendalikan sepenuhnya oleh Biro Tatanegara (BTN).
Menurutnya, kursus dijalankan dengan kerjasama BTN sebagaimana kelaziman PKPMP yang sering mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain seperti BTN untuk menjimatkan kos dan hal itu selari dengan dasar penjimatan yang ditetapkan oleh kerajaan. – Bernama










