Kursus khas Perlembagaan untuk wakil rakyat - Utusan Malaysia

Kursus khas Perlembagaan untuk wakil rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 7 Ogos – Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) disaran mengadakan kursus khas berkaitan Perlembagaan Malaysia, konsep Rukun Negara dan segala dasar negara merangkumi ekonomi, pendidikan serta sosial untuk semua wakil rakyat.

Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra bertitah, wakil rakyat merupakan kumpulan yang membentuk kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan, namun tanpa pendedahan seumpama itu, aspek rasional ilmu dalam kalangan mereka tidak mungkin dapat diperkukuh.

“Soal mengubah atau tindakan melakukan perubahan sesuatu dasar, biarlah mereka itu terlebih dahulu mempunyai pengetahuan dan ilmu yang cukup mengenai sesuatu perkara.

“Jangan sekali-kali sesuatu dasar diubah, tetapi akhirnya mengundang perkelahian dan perpecahan yang memanjang,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama sempena Seminar Peranan Raja-Raja Melayu Dalam Menyatukan Rakyat di sini hari ini.

Seminar berkenaan dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Dalam pada itu, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra turut menzahirkan kekecewaan terhadap situasi sekarang yang menyaksikan rakyat, khususnya generasi muda tidak dididik dengan secukupnya mengenai konsep Persekutuan dan Perlembagaan Malaysia.

“Mereka tidak ada, atau kurang pengetahuan tentang perlembagaan dan sejarah negara sendiri. 

“Padahal seharusnya Perlembagaan Malaysia menjadi subjek wajib merentasi fakulti dan kurikulum di semua pusat pengajian tinggi,” titahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN