Kim Swee terus dirundung malang - Utusan Malaysia

Kim Swee terus dirundung malang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Ketika acara bola sepak Sukan Asia 2018 tinggal kurang dua minggu untuk membuka tirai, persiapan Malaysia terus diuji masalah baharu apabila kehilangan penyerang PKNS FC, Jafri Muhammad Firdaus Chew akibat kecederaan hamstring.

Pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan, Jafri terpaksa digugurkan kerana memerlukan empat minggu untuk pulih daripada kecederaan.

“Jefri terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan dan memerlukan lebih kurang empat minggu untuk pulih jadi kita tidak mempunyai banyak pilihan dan seramai 22 pemain akan ke China.

“Kita mempunyai perlawanan persahabatan dengan China dan itu saja perlawanan untuk saya menilai pemain-pemain, dan jika kecederaan menimpa mereka, ia di luar kawalan saya,” katanya ketika ditemui pemberita ketika sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Terdahulu, Kim Swee berhadapan dengan masalah dua tonggak utama skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara iaitu Matthew Davies dan Nor Azam Azih yang tidak dilepaskan oleh Pahang.

Selain itu, pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Radzak dan pemain tengah, Syamer Kutty Abba turut terpaksa disisihkan selepas mereka mengalami kecederaan.

Kim Swee juga kehilangan khidmat penyerang skuad bawah 19 tahun, Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk aksi persahabatan menentang China kerana dia akan menjalani sesi pemilihan pemain bersama kelab Liga J (Liga Jepun) divisyen dua, Roasso Kumamoto selama enam hari.

Begitupun Hadi akan kembali untuk aksi Sukan Asia.

Mengulas lanjut, Kim Swee masih membuka pintu buat Matthew dan Nor Azam untuk menyertai pasukan seandainya Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengubah pendirian di saat akhir untuk melepaskan kedua-dua pemain tersebut.

“Terpulang kepada pihak pengurusan, jika mereka (Matthew dan Nor Azam) sanggup hadir…pintu sentiasa terbuka untuk mereka berdua.

“Mengenai Hadi, ini peluang keemasan untuk dia merebut peluang dan ia bukan datang selalu. Walaupun saya memerlukan dia dalam pasukan, saya harap dia mampu merebut peluang untuk memikat kelab Jepun itu, memandang dia masih muda, saya yakin dia mampu berjaya,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan E dengan menentang Kyrgyzstan pada 10 Ogos, diikuti Emiriah Arab Bersatu (12 Ogos), Korea Selatan (17 Ogos) dan Bahrain pada 20 Ogos. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN