KUALA LUMPUR 1 Ogos – Tindakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenepikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada menjadi Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencetuskan persoalan mengenai bidang kuasa Kementerian Kewangan.
![]() |
|
ONG CHONG SWEN
|
Naib Pengerusi Wanita MCA, Senator Datuk Ong Chong Swen berkata, menurut Akta Menteri Kewangan (Diperbadankan) 1957, Khazanah sebagai sayap pelaburan kerajaan adalah sebahagian daripada perbendaharaan negara.
Sehubungan itu, katanya, apabila Perdana Menteri mahu melantik ahli-ahli lembaga pengarah perbendaharaan, maka perkara tersebut haruslah melibatkan Menteri Kewangan.
“Oleh kerana Dr. Mahathir telah melantik beliau sendiri dan sekutunya ke dalam Lembaga Pengarah Khazanah, maka Guan Eng dan DAP harus meminta supaya Menteri Kewangan itu juga dilantik sebagai seorang daripada Ahli Lembaga Pengarah sayap pelaburan berkenaan.
“Tindakan Perdana Menteri mengenepikan Guan Eng, sebaliknya melantik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencetuskan persoalan tentang apakah tugas dan kuasa Kementerian Kewangan dan siapakah sebenarnya Menteri Kewangan ‘de facto’?,” soal Chong Swen dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kelmarin, Jabatan Perdana Menteri menamakan Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah sementara Azmin, Tan Sri Mohd. Hassan Marican, Dr. Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin sebagai pengarah. – UTUSAN ONLINE












